Monday, 9 January 2012

Week #9: Riverside & Kim Bay (165 & Below Trios League 2011/2012)

LIGA RIVERSIDE & KIM BAY SEMAKIN HEBAT DAN HANGAT
THE INCREDIBOWLS MELAKUKAN KEJUTAN DI MINGGU KE-9

Salam ceria daripada Arena Sukan ITZ yang membawakan anda berita-berita sukan bowling yang melibatkan kejohanan liga RIVERSIDE & KIM BAY 2011/2012.

Walaupun hujan yang lebat telah mencurahi bumi kenyalang dari awal pagi sehingga mengakibatkan beberapa kawasan Bandar Kuching di tenggelami air dan kesesakan lalulintas yang teruk di awal tahun 2012 ini, namun kejohanan ini tetap diteruskan setelah hujan mulai berhenti pada tengahari semalam. Arena Sukan ITZ juga mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga seorang pelajar sekolah dan seorang pekerja stesen minyak di Jalan Rock kerana terlibat di dalam tragedi di hanyutkan air yang deras semasa hujan yang turun semalam.

Perlawanan yang di teruskan ini juga mengalami sedikit gangguan apabila di mulakan agak lewat seperti biasa. Di tambah dengan masalah teknikal mesin pin setter juga memberikan kesan kepada penumpuan permainan semalam. Pihak penganjur juga telah mengumumkan dua hadiah istimewa bagi mana-mana pemain yang berjaya mendapatkan lima strike berturut-turut dan lapan strike berturut-turut untuk menerima “Voucher Makan Malam” serta “Voucher Penginapan” 2 hari yang di sumbangkan oleh Riverside Majestic Hotel.

Perlawanan minggu ke-9 semalam juga telah memperlihatkan kejutan yang berjaya dilakukan oleh pasukan bawahan liga THE INCREDIBOWLS apabila mencatatkan kemenangan ke atas pasukan pilihan kejohanan 1st TIMER di lorong ke-9 & 10. Di antara kejutan lain yang berjaya di tonton semalam termasuk kemenangan AB RIO terhadap pasukan PHREAKERS TEAM  telah memastikan liga anjuran RIVERSIDE SUPERBOWL kali ini lebih menarik dan mencapai maksud tujuan asal penganjurannya.


Berikut adalah rangkuman perlawanan pada minggu ke-9:

1st TIMER vs THE INCREDIBOWLS

RIZALNAM BOHARI, AZIZI JOHNY & NAZRI BOHARI (1st TIMER)
1st TIMER yang telah menyenaraikan Rizalnam Bohari berganding bahu bersama Azizi Johny dan Nazri Bohari untuk menghapuskan badi kekalahan kali ke-3 berturut-turut semenjak minggu ke-7 telah menerima tamparan yang hebat sewaktu bertemu dengan THE INCREDIBOWLS malam semalam.

THE INCREDIBOWLS yang meletakkan tiga pemain utama mereka seperti Gabriel Kong, Robert Bantan dan Howard Fadd untuk menyempurnakan misi kemenangan telah bermain dengan baik untuk memberikan saingan hebat kepada pasukan 1st TIMER.

Rizalnam Bohari bermula dengan hambar di game yang pertama apabila hanya menjatuhkan sebanyak 148 pin (termasuk handicap) dan peluang ini di ambil sepenuhnya oleh Gabriel Kong yang menjatuhkan sebanyak 161 pin. Di game yang kedua, nasib Rizalnam Bohari sedikit baik apabila menang tipis dengan keputusan 176-171. Sekali lagi Rizalnam Bohari tidak berjaya membuat balingan yang baik di game yang ketiga apabila menyaksikan beliau tewas buat kali kedua di tangan Gabriel Kong dengan 152-162. Aksi Gabriel Kong di game yang terakhir sudah mula layu dan hanya berjaya menjatuhkan sebanyak 125 pin untuk tewas kepada Rizalnam Bohari yang menjatuhkan sebanyak 154 pin. Rizalnam Bohari menarik nafas kelegaan setelah berjaya mengutip mata ketiga untuk memenangi perlawanan bertemu Gabriel Kong hasil jumlah keseluruhan pin individu.

1st Timer menerima Voucher "Kim Bay" untuk Beer Frame

Azizi Johny juga bermula dengan hambar apabila dikejutkan oleh Robert Bantan yang memenangi game pertama dengan kelebihan 17 pin. Usaha Azizi Johny untuk bangkit melawan di game yang kedua juga tidak kesampaian apabila Robert Bantan terus membuat balingan yang sempurna untuk menewaskan Azizi Johny dengan 201-170. Azizi Johny yang kelihatan sedikit tertekan dengan permainan sendiri terus di rundung kekecewaan setelah hanya mampu menjatuhkan sebanyak 147 pin berbanding Robert Bantan yang memiliki kelebihan handicap untuk 155 pin. Di game terakhir Robert Bantan sudah mula menunjukkan tanda keletihan dan peluang ini di ambil oleh Azizi Johny untuk satu-satunya mata kemenangan beliau malam ini dengan keputusan 166-153. Robert Bantan berjaya mendapatkan mata keempat buat dirinya setelah menjatuhkan sebanyak 699 pin berbanding Azizi Johny yang menjatuhkan sebanyak 656 pin.

Nazri Bohari yang di ramal tidak menghadapi kesukaran untuk berhadapan dengan Howard Fadd walaupun lawannya itu memiliki kelebihan sebanyak 16 pin handicap tidak mengecewakan di game yang pertama apabila menang dengan 158-147. Walaubagaimanapun tamparan hebat telah di terima oleh Nazri Bohari di game yang kedua apabila terpaksa mengalah kepada Howard Fadd dengan keputusan 144-185. Nazri Bohari yang cuba bangkit di game yang ketiga terus menerima nasib malang apabila mendapat sebanyak 3 kali split seterusnya membolehkan Howard Fadd memenangi game ini dengan kelebihan 30 pin. Nazri yang cuba melakukan yang terbaik di game yang terakhir berjaya juga memecah dominasi Howard Fadd apabila menjatuhkan 165 pin berbanding lawannya itu yang menjatuhkan sebanyak 140 pin. Permainan yang menurun oleh Nazri Bohari pada perlawanan ini telah membolehkan Howard Fadd memunggut mata ketiga apabila mempunyai kelebihan sebanyak 35 pin setelah jumlah pin individu di kira.

HOWARD FADD, ROBERT BANTAN & GABRIEL KONG (THE INCREDIBOWLS)

Kelemahan ketara yang di tunjukkan oleh pemain-pemain 1st TIMER pada malam semalam telah membolehkan THE INCREDIBOWLS mencatatkan satu lagi sejarah penting buat pasukan mereka setelah menang 13-7. Arena Sukan ITZ telah memilih Robert Bantan (THE INCREDIBOWLS) sebagai pemain paling cemerlang di antara kedua-dua pasukan.



GREVE TEAM vs RIESTAR
NOOR SHIZARIN, IRMAN ZAINI & LIM CHUN WEE (GREVE TEAM)
Irman Zaini (GREVE TEAM) yang di turunkan sekali lagi, bakal bertemu dengan Jamayah Bujang (RIESTAR) di jangka mudah melepasi laluannya. Menang di dua game yang pertama sebelum Jamayah berjaya mendapatkan kemenangan di game yang ketiga telah menyemarakkan lagi usaha Irman Zaini untuk muncul sebagai pemenang mutlak. Hasilnya di game yang terakhir Irman Zaini berjaya menjatuhkan sebanyak 219 pin untuk selesa memenangi perlawanan bersama Jamayah Bujang dengan 4-1.

Lim Chun Wee (GREVE TEAM) yang membuat penampilan kali ke-4 tewas hanya dengan 2 pin di game pertama ketika di tentang Ramli Omar (RIESTAR). Kelebihan handicap yang ada pada pemain RIESTAR ini gagal di sempurnakan di game yang kedua apabila kecundang tipis dengan 5 pin. Namun Ramli Omar kembali bangkit untuk memenangi game yang ketiga dengan kelebihan sebanyak 38 pin. Walaupun Ramli Omar tewas tipis di game yang terakhir dengan 1 pin namun sudah cukup bagi pemain RIESTAR ini mengutip mata kemenangan pada jumlah pin individu keseluruhan.

RIESTAR

Noor Shizarin (GREVE TEAM) memastikan status beliau malam semalam setelah menang kesemua mata ke atas Mawi Labini (RIESTAR). Mawi Labini tidak mampu mencabar permainan Noor Shizarin walaupun berkelebihan sebanyak 9 pin.




Pemain paling cemerlang di antara kedua-dua pasukan ini telah di berikan kepada Noor Shizarin daripada pasukan GREVE TEAM. 


PERFECXION vs 4-MUSKETEERS

LU CHIENG SIANG, SITI HAJJAR SAIBI & CHANG KIM PING (PERFECXION)

PERFECXION menaruhkan harapan kepada trios Siti Hajjar Saibi, Lu Chieng Siang dan Chang Kim Ping bagi menyekat penguasaan pasukan pilihan 4-Musketeers yang di barisi oleh Sazali Yunus, Herman Shah dan Ahmad Lek.

Permainan PERFECXION begitu baik di game yang pertama apabila berjaya mendahului 4-Musketeers dengan 3-1 hasil kemenangan Siti Hajjar Saibi, Chang Kim Ping dan jatuhan pin berpasukan. Namun begitu 4-Musketeers tidak memberikan peluang buat PERFECXION terus menghukum mereka setelah memenangi game yang kedua juga pada angka yang sama.

SAZALI YUNUS, AHMAD LEK & HERMAN SHAH (4-MUSKETEERS)
Di game yang ketiga 4-Musketeers mula mendapatkan rentak dan menang juga dengan 2.5-1.5. Setengah mata di terima hasil keputusan seri pada jumlah jatuhan pin berpasukan di game yang ketiga. Keputusan yang sama di perolehi oleh 4-Musketeers di game terakhir yang memperlihatkan sekali lagi kedua-dua pasukan terikat di penjumlahan pin berpasukan.

4-Musketeers terus mengesahkan kemenangan mereka apabila menewaskan PERFECXION dengan keputusan 12-8. Pemain 4-Musketeers yang terkenal dengan panggilan X-Man iaitu Herman Shah telah di pilih Arena Sukan ITZ sebagai pemain paling cemerlang.



NUR KHAN vs IN THE ZONE
ABG SENAWI, KAMALUDIN AKIL & RAJAK EMAN (NUR KHAN)
NUR KHAN telah menurunkan tiga pemain terbaik mereka seperti Abg Senawi, Kamaludin Akil serta Rajak Eman bagi mencapai kemenangan terhadap IN THE ZONE yang bergantung harapan kepada Mazelan Mohamad, Fazreen Fadzuan dan Hew Fah Lin untuk meneruskan rentak kemenangan pasukan.

Mazelan Mohamad yang telah bermula dengan baik apabila berjaya menewaskan Abg Senawi di game yang pertama dengan keputusan 185-151 (termasuk handicap), tewas di game yang kedua dengan hanya perbezaan tiga pin sahaja. Walaupun Mazelan di lihat agak sukar mendapatkan strike namun masih mampu menang di game yang ke-3 dengan selesa. Abg Senawi telah mempertingkatkan permainannya di game terakhir sekaligus menekan permainan Mazelan Mohamad yang gagal menyerap tekanan tersebut dan tewas di game yang terakhir dengan keputusan 137-197 (termasuk handicap). Perbezaan besar jumlah pin di game yang terakhir iaitu sebanyak 60 pin telah mengakibatkan kekalahan ke-3 buat diri Mazelan Mohamad di penjumlahan pin keseluruhan individu dengan jurang sebanyak 15 pin sahaja. Abg Senawi memenangi perlawanan dengan 3-2.

Fazreen Fadzuan  juga memulakan game pertama dengan baik setelah berjaya menjatuhkan sebanyak 216 pin (termasuk handicap) untuk menewaskan Kamaludin Akil yang menjatuhkan sebanyak 159 pin. Namun seperti yang berlaku kepada Mazelan Mohamad, Fazreen Fadzuan tidak konsisten dan tewas di game yang kedua dengan 150-180 kepada Kamaludin Akil. Walaubagaimanapun Fazreen Fadzuan berjaya mengembalikan rentak permainan yang baik di game yang ketiga untuk menewaskan Kamaludin Akil dengan 196-150. Di game yang terakhir tekanan mula menyerang kedua-dua pemain sehinggakan mereka banyak melakukan kesilapan terutama ketika membuat balingan spare. Fazreen Fadzuan menarik nafas lega setelah mencipta kemenangan sekali lagi menerusi kelebihan handicap dengan keputusan 143-141. Fazreen Fadzuan berjaya mendapatkan mata keempat buat dirinya setelah mengalahkan Kamaludin Akil dengan kelebihan 75 pin setelah membenam sebanyak 705 pin sepanjang malam tadi.

HEW FAH LIN, MAZELAN MOHAMAD & FAZREEN FADZUAN (IN THE ZONE)

Hew Fah Lin meneruskan dominasi IN THE ZONE di game yang pertama setelah mencatatkan kemenangan ke atas Rajak Eman dengan 193-173 seterusnya membolehkan IN THE ZONE mendapat satu lagi mata menerusi jumlah jatuhan pin berpasukan di game ini. Hew Fah Lin terus menjadi tonggak IN THE ZONE di game yang kedua setelah kemenangan beliau yang kedua terhadap Rajak Eman telah membantu IN THE ZONE mendapat mata kedua dalam kategori jumlah jatuhan pin berpasukan dengan perbezaan hanya 4 pin. Menyedari situasi yang berlaku Rajak Eman telah mengandakan usaha memperbaiki permainan dan berjaya mencuri mata pertama setelah menewaskan Hew Fah Lin di game yang ketiga dengan keputusan 197-161. Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan, Rajak Eman gagal membantu pasukannya memunggut mata menerusi jumlah jatuhan pin berpasukan apabila tewas dengan 503-527. Permainan di game yang terakhir berlangsung dengan sengit di antara kedua-dua pemain apabila pemenang hanya dapat di tentukan menerusi balingan yang terakhir. Rajak Eman yang berjaya mengejar mata setelah mendapat tiga strike berturut-turut bermula di frame yang ke-7 telah memenangi perlawanan dengan keputusan 166-164 sekaligus membantu NUR KHAN memperolehi mata pertama pada penjumlahan pin berpasukan dengan kelebihan 60 pin. Namun begitu Rajak Eman gagal menewaskan Hew Fah Lin pada penjumlahan pin individu apabila tewas kali ketiga dengan 672-691.

IN THE ZONE mengesahkan kemenangan setelah berjaya menjatuhkan sebanyak 2053 pin sepanjang malam semalam dengan keputusan 13-7. Arena Sukan ITZ telah memilih Fazreen Fadzuan dari pasukan IN THE ZONE sebagai pemain cemerlang bagi kedua-dua pasukan ini.  


AB RIO vs PHREAKERS TEAM
MARZUKI ANUAR, NURI HASLINA & NORHAZMAN PULO (PHREAKERS TEAM)
AB RIO yang menyenaraikan Doleena Kennedy, Mohamad Rajudin dan Masri Gidi bakal berhadapan dengan Nuri Haslina, Norhazman Pulo dan Marzuki Anuar daripada pasukan PHREAKERS TEAM.

Doleena Kennedy yang mempunyai kelebihan 9 pin handicap ke atas lawan beliau Nuri Haslina telah menggunakan sepenuhnya kelebihan tersebut apabila menang dengan keputusan 4-1. Nuri Haslina terlebih dahulu mencuri tumpuan setelah memenangi game yang pertama penuh bergaya dengan keputusan 199-176. Namun begitu Nuri Haslina terpaksa mengalah di game yang kedua apabila tewas menerusi kelebihan handicap yang di miliki Doleena Kennedy. Doleena menyapu bersih baki mata perlawanan setelah berjaya menewaskan Nuri Haslina.

DOLEENA KENNEDY, MOHD RAJUDIN & MASRI GIDI (AB RIO)

Mohd Rajudin yang di turunkan selaku pemain kedua pasukan AB RIO ternyata gagal melaksanakan tugas yang di berikan dengan baik setelah di belasah dengan 0-5 kepada Nurhazman Pulo dari pasukan PHREAKERS TEAM. Kelebihan 9 pin handicap yang di perolehi Nurhazman Pulo telah banyak membantu di dalam keputusan tersebut terutamanya di game kedua dan keempat.

Perlawanan sengit di antara Masri Gidi dan Marzuki Anuar tidak menjadi kenyataan apabila Masri Gidi berjaya memberikan tekanan yang hebat kepada Marzuki Anuar sehingga beliau gagal bermain dengan baik sepanjang malam tadi. Masri Gidi tidak memberikan ruang buat Marzuki Anuar untuk bangkit lalu mencipta kemenangan maksimum 5-0 terhadap pemain PHREAKERS TEAM tersebut.

AB RIO memenangi perlawanan ini dengan keputusan 13-7 dan Masri Gidi daripada AB RIO telah di pilih sebagai pemain paling cemerlang di dalam perlawanan ini oleh Arena Sukan ITZ.


LAS KOPEK vs GIRL POWER

AHMAD TAJUDIN, ABD AZIZ & AZZAIRUL SARKAWI (LAS KOPEK)
LAS KOPEK yang menurunkan Azzairul Sarkawi, Abd Aziz dan Ahmad Tajudin telah berjaya menghampakan gandingan pemain GIRL POWER seperti Suryanti, Eztianie Malissa dan Noraniza Abd Wahab untuk terus mencipta kejutan di dalam pertandingan ini.

Walaubagaimanapun, Azzairul Sarkawi terlebih dahulu di kejutkan oleh Suryanti yang semakin hari semakin baik permainan beliau di kebelakangan ini. Sungguhpun Azzairul menang di game yang pertama namun game-game yang berikutnya di dominasi sepenuhnya oleh Suryanti untuk kemenangan 4-1 terhadap Azzairul Sarkawi.

Kekalahan Azzairul dapat di tampung oleh Abd Aziz yang bertemu dengan Eztianie Malissa. Eztianie yang mempunyai kelebihan 12 pin handicap tidak mampu mengalas tugas dengan baik dan sering melakukan kesilapan terutama ketika membuat balingan spare. Ini memudahkan tugas Abd Aziz yang menang dengan mata maksimum 5-0.

TRIO GIRL POWER
Seorang lagi pemain GIRL POWER iaitu Noraniza yang mempunyai kelebihan sebanyak 16 pin handicap juga gagal melaksanakan tugas yang di berikan. Walaupun menang di game yang pertama terhadap Ahmad Tajudin namun di game yang berikutnya beliau gagal bermain dengan baik dan kesempatan ini tidak dipersiakan oleh Ahmad Tajudin yang menang dengan 4-1.

LAS KOPEK menang dengan 14-6 dan Abd Aziz telah di pilih oleh Arena Sukan ITZ sebagai pemain paling cemerlang di antara kedua-dua pasukan.



IMMIGRATION vs TALA KULU KULU
WAHIDAH, ABDUL RAHIM & MAHDI (IMMIGRATION)
TALA KULU KULU yang sebelum ini telah membuat keputusan yang mengejutkan tidak mampu melakukannya sekali lagi apabila trio yang di turunkan seperti Mohd Rolam, Abg Yusdi dan Khairy Amry gagal menyekat permainan bertenaga yang di tunjukkan oleh trio daripada IMMIGRATION seperti Mahdi, Wahidah dan Abdul Rahim malam tadi.



Kekecewaan TALA KULU KULU di mulakan dengan permainan cemerlang daripada Mahdi yang mudah mengutip 5 mata setelah Mohd Rolam gagal memberikan tentangan kepada permainan beliau.


Wahidah pula berjaya memaksa Abg Yusdy untuk berkongsi mata apabila kedua-dua pemain terikat dengan 2.5 mata. Walaupun Khairy Amri berjaya menewaskan Abdul Rahim namun jumlah jatuhan pin berpasukan banyak memihak kepada pasukan IMMIGRATION yang akhirnya di umumkan sebagai pemenang dengan keputusan 13-7 dan Mahdi dari pasukan IMMIGRATION telah di pilih sebagai pemain paling cemerlang.

MASJA-SA vs RED SNAPPER

MASJA-SA yang turun dengan misi menambahkan luka kepada pasukan RED SNAPPER tidak menjadi satu kenyataan apabila RED SNAPPER yang terlebih dahulu menghidu segala perancangan dan menyenaraikan pemain terbaik mereka seperti Jefry Rosdin, Abg Afiq Yazid dan Awg Kasti bagi mengempur pemain MASJA-SA yang terdiri daripada Asri Mat, Mohd Zaimi dan Abdullah Tamel.


Jefry Rosdin ternyata bukan lawan Asri Mat yang gagal mencuri sebarang mata daripada lawannya itu. Kelebihan 6 pin handicap juga gagal di manafaatkan oleh Asri Mat Yng tewas dengan 0-5.


Abg Afiq Yazid pula mempamerkan permainan yang tidak konsisten namun masih mampu melakarkan kemenangan dengan 3-2 terhadap Mohd Zaimi. Tewas di game yang pertama, Abg Afiq Yazid menganas di dua game berikutnya dengan balingan jatuhan pin melebihi 200 pin. Namun beliau alpa di game yang terakhir membolehkan Mohd Zaimi mencuri satu lagi mata untuk keputusan 2-3.


Awg Kasti pula mudah menjinakkan Abdullah Tamel di dua game yang pertama. Namun Abdullah Tamel yang terkenal dengan gelaran lambat panas telah menjatuhkan lebih 200 pin di dua game yang terakhir untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Awg Kasti.


RED SNAPPER yang mendominasi jumlah jatuhan pin berpasukan menang dengan keputusan 14-6. Abg Afiq Yazid telah di pilih sebagai pemain paling cemerlang malam tadi.


Sepanjang perlawanan malam semalam, semua pasukan telah berusaha sebaik mungkin bagi mempertingkatkan mutu permainan sekaligus mencapai kemenangan berpasukan. Ini menunjukkan bahawa adanya potensi di kalangan pemain-pemain yang menyertai kejohanan kali ini untuk lebih menyerlah di masa-masa akan datang.

Kekalahan yang menimpa pasukan 1st TIMER buat kali ketiga telah membuktikan kekuatan mental dan penumpuan terhadap permainan amat penting bagi pasukan-pasukan pilihan apabila bertemu dengan pasukan “Underdog”. Bagi pasukan-pasukan “Underdog” inilah masa dan peluang mereka membuktikan bahawa penyertaan mereka tidak boleh di ambil mudah. Pasukan-pasukan “Underdog” yang setakat ini telah berjaya mencatatkan kejutan adalah seperti RIESTAR, GIRL POWER, TALA KULU KULU dan yang terbaru THE INCREDIBOWLS.

Arena Sukan ITZ mengucapkan “SELAMAT MAJU JAYA” kepada semua pasukan di minggu hadapan (minggu ke-10) dan berharap agar semangat kesukanan serta peningkatan permainan dapat di lakukan oleh para pemain untuk diri sendiri dan sukan bowling di Sarawak amnya.

KEDUDUKAN TERKINI LIGA DI MINGGU KE-9:

Sumber Berita Arena Sukan ITZ telah  disediakan oleh P3m@iN bOwLiNG.

1 comment:

  1. Berita Sukan yang mantap. Teruskan perkongsian yang sebegini.Majulah sukan bowling untuk Malaysia.

    ReplyDelete